Kebajikan

Agihan Barangan Keperluan, Makanan Dan Pakaian Kepada Mangsa Banjir

Yayasan JDT melalui program YJDT-H.E.R.O dengan kerjasama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Best FM, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Ihsan Johor, Boys of Straits (BOS) dan Southern Volunteers (SV) telah membuat agihan barangan keperluan, makanan dan pakaian kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah Batu Pahat dan Kluang pada 21 Mac 2023.

Bantuan telah diserahkan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Sri Medan, Batu Pahat dan juga di PPS Kampung Orang Asli Sri Kenangan, Kahang.

Beberapa pemain JDT juga tidak melepaskan peluang beramah mesra serta menyampaikan sumbangan kepada PPS SK Sri Medan yang menempatkan hampir 300 buah keluarga yang terjejas akibat bencana banjir.

Mereka turut bersama-sama menyertai misi bantuan ini dengan melakukan aktiviti pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir di kampung tersebut.

Program seperti ini selari dengan misi dan visi DYAM Tunku Mahkota Johor bahawa JDT bukan sekadar sebuah kelab bola sepak.